Pages

Saturday, March 09, 2013

Permulaannya...

Entry ini adalah khas untuk suami tercinta, Encik Abdul Rahman bin Muda.

Abang,

Masihkah abang ingat saat pertama kita bertemu?

Bukan pun dirancang, malah tidak terduga. Niat ku ketika itu hanya ingin membantu sahabatku menjemput kawannya yang mahu menumpang untuk pulang ke kampung. Aku menurut, lantaran semalaman kami telah habiskan dengan bersiar-siar di Putrajaya dan bersahur di McDonalds bersama 2 lagi rakan kami. Dan pagi itu, dalam keadaan yang masih mamai kerana tidak tidur semalaman, aku gagahi untuk memandu viva hitam yang disewa itu. Menujulah kami bertiga ke Hulu Langat, kerana di situlah lelaki ini menunggu untuk dijemput.

Jadi, janganlah kalian ketawakan jawapanku jika kalian bertanya "Kat mana jumpa suami?" kerana jawapanku tetap akan utuh menjadi "Dekat bus stop." Kerana di situlah kali pertama aku melihat dia ketika itu. Lalu sahabatku yang bertukar tempat duduk ke belakang, memberikan dia ruang untuk duduk di sebelah tempat duduk pemandu. Dialog kami pagi itu hanya berkisar Arwah sahabat kami yang telah meninggal dunia iaitu Arwah Suhaimi. Kebetulan aku mengenali Arwah dari program yang dijayakan oleh pihak UPSI bersama MPPM ketika itu. Dan dia pula pernah menjadi rakan serumah Arwah Suhaimi. Lalu kami bertukar cerita. Tiada apa yang istimewa pada ketika itu. Aku pun tidak merasakan apa-apa. Hanya sekadar beramah mesra sebagai seorang rakan yang baru dikenali. Dan pertemuan itu berakhir di situ. Terlintas untuk meminta nombor telefon dia dari sahabatku, namun mungkin perasaan malu membuat niatku mati di situ sahaja. Dia pulang ke kampung bersama sahabatku, dan sepupunya.

Ada rasa ralat sedikit kerana tidak meminta nombor telefonnya. Dan aku tekad akan meminta dari sahabatku sejurus kuliah bermula setelah tamat cuti Hari Raya.

Beberapa hari sebelum hari Raya, aku mendapat kiriman pesanan ringkas dari nombor yang tidak aku kenali. Dia bermula dengan menghantar pesanan berbaur tazkirah. Selepas itu, ada kiriman ucapan hari raya jika tidak tersilap aku. Dan aku menjawab, bertanya siapakah gerangan yang menghantar pesanan ringkas itu. Jawapannya, "Eh, ini bukan nombor Amin ke?" Dan dia memperkenalkan dirinya sebagai 'Arm'. Aku masih tidak terlintas bahawa dialah orangnya yang menghantar pesanan ringkas itu. Dan kami mula berkawan. Aku pernah tanyakan pada dia mengapa masih ingin menghantar pesanan ringkas kepadaku walaupun dia tidak mengenali siapa aku. Jawabnya kerana aku orang yang baik, lalu dia ingin berkawan denganku. Ya, aku masih tidak merasakan dia lah orangnya ketika itu. Seingat aku, pernah dia memuji cantiknya namaku kerana ketika itu, aku menggunakan telefon bimbit Nokia yang membenarkan kita meletakkan signatur di hujung pesanan ringkas yang ditaip. Ketika itu signatur ku adalah 'fairuzniza'.

Dan akhirnya, kuliah pun bermula kembali. Malam itu, sahabatku meminta aku menjemput dia dan lelaki itu di Giant Batu Caves, tempat sepupunya menghantar mereka ketika itu. Sebenarnya kami mempunyai rancangan yang lain, kerana sahabatku mahu menjemput kawannya di Pudu. Dan aku bersetuju, memikirkan itu mungkin menjadi pertemuan kedua kami.  Dan setelah menjemput mereka, kami menuju ke Pudu untuk menjemput rakan sahabatku pula. Banyak yang terjadi ketika itu, namun aku ringkaskan sahaja cerita ini.

Sehinggalah kami singgah di pam petrol Petronas, dan dia menawarkan diri untuk pergi membayar, aku ceritakan pada sahabatku ada orang yang menghantar mesej kepada ku sepanjang cuti hari raya itu. Kemudian sahabatku bertanyakan apa nombornya, setelah aku menunjukkan pesanan ringkas yang dikirim dia, terus sahabatku ketawa. Katanya itu nombor lelaki itu! Ya, lelaki yang dari awal pertemuan kedua kami berpura-pura seolah tidak pernah mengenaliku. Hatiku tercuit sedikit dengan kehadiran lelaki itu.

Dan kami menjamu selera di restoran makanan segera McDonalds Ampang Point, walaupun ketika itu sudah di awal pagi. Aku, ketika itu sememangnya hantu pada kentang goreng. Tidak sedar kehabisan kentang gorengku, aku mencapai kentang goreng di dalam dulang sebelah. Dan tiba-tiba sendiri tersentak kerana baru menyedari kentang goreng itu milik siapa. Aku melihat padanya, dan dia katakan padaku,

"Makanlah..."

ketika itu, pandangan matanya, suaranya, dan segalanya tentang dia terus membuatkan duniaku terhenti seketika, dan menambah kadar degupan jantung ku. Dan saat itu lah aku sedari...

Aku mula menyukai dia.

:)


1 ::sok sek:::

..:: Ummi Ain ::.. said...

salam..hi niza...menarik betul ni.....mcm separuh jln je...cpt smbung...haha

 

Template by Best Web Hosting