Pages

Monday, January 28, 2013

Tentang Rasa

gambar milik pakcik gugel
Ya, saya masih belum mengandung buat masa ini. Sudah penat dan bosan melayan soalan seperti itu hampir setiap hari. Tidak kiralah dari sesiapa pun. Baru setahun setengah, belum pun lagi diuji berbelas tahun seperti orang lain. Jika setahun setengah ini pun sudah merasa jelik dengan soalan seperti itu, apatah lagi rakan-rakan yang diuji sehingga 17 tahun bernikah baru mempunyai cahaya mata? Tuhan, kuat sungguh hati mereka.

Sebut tentang kuatnya hati, sungguhlah. Jika bukan kerana hati mereka yang kuat, masakan mereka diuji sebegitu rupa. Bukankah Dia telah katakan bahawa ujian yang diberikan itu setimpal dan setanding dengan kuat tabah hati hambaNya? Ini baru diduga dengan lewat atau adanya cahaya mata, belum lagi diuji dengan ujian yang lain.

Lewat minggu sudah, aku dan suami pulang ke kampung, niatnya ingin melawat anak saudara yang baru sahaja disahkan leukimia. Sungguh, itu ujian yang sangat berat bagi kami yang hanya mampu memandang. Bagi yang memandang sudahpun berat, apatah lagi yang memikul? Tapi aku belajar sesuatu dari anak saudaraku yang baru berusia 20 tahun itu, dia kuat. Waktu kami melawatnya, dia senyum dan tertawa seperti biasa walaupun dari wajah hingga ke kaki putih pucat. Dia bergurau, bercanda, bercerita seolah-olah bukan dia yang sedang sakit. Tiada bunyi kesal atau marah dengan ujian yang menimpanya ketika itu. Dan aku tertampar. Dia diuji sebegitu rupa, pada usia yang muda seperti itu, lalu APA HAK AKU untuk mengeluh atau merasa beratnya diuji dengan lambatnya beroleh cahaya mata?

Sejenak jua aku terfikir, wahai manusia, wahai mulut-mulut yang sering lancar bertanya 'Bila kau nak mengandung?', tidak pernah terlintaskah oleh kalian bahawa anak itu juga boleh jadi suatu ujian dariNya? Bagaimana cara mendidik, mengajar, membesarkan anak itu dengan baik dan hampir sempurna. Bagaimana bagusnya anda menjaga AMANAH dari Dia itu sebaik mungkin? Lalu apa lagi? Usah disibukkan dengan urusan rezeki orang lain, pandang sahaja rezeki yang ada di depan mata. Jangan terlalu sibuk dengan soal rezeki orang lain hingga tidak terpandang rezeki yang Dia telah berikan.

Anak itu ujian.
Kaya itu ujian.
Miskin itu ujian.
Senang itu ujian.
Susah itu ujian.
Harta itu ujian.
Masa yang lapang itu ujian.
Sibuk itu jua ujian.

Tentang aku. Jangan dirisau. Kerana sesungguhnya, aku yakin Dia pasti ada rancangan yang lebih baik untuk aku dan suami. Mungkin belum masanya kami menerima cahaya mata. Mungkin Dia sedang berikan kami peluang untuk membina hidup yang lebih baik untuk kami persembahkan kepada anak-anak kami kelak. Amin.

Tentang anda? Jangan gusar. Bersangka baiklah pada Dia. Sesungguhnya hanya Dia yang mengetahui apa yang terbaik untuk anda. Sesungguhnya rezeki, jodoh, ajal dan segalanya adalah ketentuan dariNya. Jadi, tidak perlu rasanya anda cuba membantu Dia dengan memberikan telahan dan komentar yang sebegitu rupa. Terima Kasih kerana mendoakan saya dan suami. :)

0 ::sok sek:::

 

Template by Best Web Hosting