Salam.
Bertemu kembali. Ada beberapa perkara yang aku tinggalkan untuk menjadi persoalan di minda anda yang membaca (sekiranya ada yang membaca) entry yang lalu.
Yang tidak aku ceritakan adalah:
Setelah mendapat keputusan x-ray dari pihak Klinik Daya Bumi, aku dan suami terus menuju ke Klinik Dr. Hamid Arshat. Ketika itu, aku masih belum merasakan sebarang kesakitan yang jelas. Rasaku masih normal. Aku masih boleh berseloroh dengan suamiku yang jika ini rasanya selepas x-ray, aku sudah boleh berlari. Namun begitu, aku tinggalkan dengan amaran yang aku telah membaca blog-blog yang menyatakan rasa sakit itu akan ada. Dan telah aku maklumkan pada suamiku tentang itu kerana mengikut perancangan, kami akan pulang ke Terengganu pada tengahari itu juga.
Lalu setelah sampai ke klinik Dr. Hamid Arshat, kesakitan yang aku alami hanya 'mild'. Aku masih tidak berkongsi rasa dengan suamiku. Jalanku juga masih seperti biasa. Cuma, apabila turun sahaja dari Klinik Dr. Hamid Arshat setelah mendapat tarikh temujanji, terus aku rasakan seperti dinding rahimku bakal luruh dan jatuh ke tanah. Sakit yang dirasakan hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana. Langsung aku telan ubat penahan sakit yang diberikan di dalam kereta.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, sakit yang dirasakan semakin menguji kesabaran. Tuhan, seandainya dengan rasa sakit itu, tergugur dosa-dosa kecilku, aku redha, Ya Allah.
Aku sudah tidak mampu berkata apa lagi. Yang aku tahu, tiba sahaja ke rumah, tidak sempat aku berkata apa kepada ibu ku, terus sahaja aku masuk ke bilik dan berguling di atas katil. Literally berguling. Kesakitan yang ditanggung sudah tidak mampu ditahan. Aku meraung. Ya, aku meraung kesakitan. Suami cuba meredakan sakitku dengan baring di sebelahku dan memelukku. Aku sendiri tidak sedar sudah berapa biji ubat painkiller yang aku telan namun sakitnya langsung tidak berkurang. Tanpa aku tahu, suami turut menangis melihat aku menangis seperti itu. (Itupun setelah dia mengaku kepadaku di kampung. Terharu rasa. Terima kasih sayang.)
Aku tertidur dek keletihan menahan sakit dan menangis.
Terjaga dari tidur, suami bertanyakan kemampuan ku untuk bertahan jika kami bertolak pulang ke kampung hari itu juga atau mahu menunggu hari esok. Aku katakan padanya kami akan bertolak hari itu juga kerana telah berjanji dengan kakaknya yang akan menumpang kami. Lagipun, kakak iparku hanya ada minggu itu sahaja untuk pulang ke kampung kerana dia punya kelas setiap hujung minggu. Lalu aku gagahkan diri, cuba untuk gagahkan diri sebenarnya. Berjalan pun harus membongkok kerana terlalu sakit. Setiap kali aku cuba bercakap, terasa seolah ada tekanan pada rahim ku yang membuatkan aku terpaksa diam dari bercakap.
Aku meminta suami membelikan sepapan lagi ubat tahan sakit di farmasi sebagai persediaan. Mungkin dengan menelan ubat itu, aku akan rasa mengantuk dan tertidur. Itu akan mengurangkan sakit yang aku rasakan.
Di dalam perjalanan, setiap kali kereta terhentak, atau aku cuba ketawa dengan keletah anak saudara ku, pasti akan terasa sakit. Dan suami akan memegang tanganku. Sungguh, kesakitan itu luar biasa sehingga aku terfikir, begitukah rasanya ibu-ibu yang melahirkan? Terasa ingin membuang, ingin segalanya pada satu masa. Seolah-olah ada yang menekan-nekan rahim memaksa sesuatu untuk keluar.
Secara jujurnya, aku tidak menyangkakan prosedur x-ray itu akan sesakit begitu. Padanlah kakak angkatku yang juga mempunyai masalah yang sama terkejut bila aku nyatakan aku akan ke HSG x-ray. Tapi syukurlah, jika tidak dilakukan x-ray itu manakan aku tahu saluran ku rupanya normal. Yang tinggal hanya masalah telur ku yang tidak matang. Dan dikeranakan itu, aku dibekalkan dengan clomid. Mudah-mudahan usaha kami akan mendapat redha Nya.
Untuk yang di luar sana, jangan gusar untuk melakukan prosedur ini. Benar ianya sakit, tetapi yakinlah, setiap kesakitan yang Dia berikan, pasti Dia akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika kesakitan itu boleh membuatkan kita mampu menyambung zuriat suami kita, tidak salah rasanya mencuba. Jika kesakitan itu boleh memudahkan jalan kita untuk menambah Ummat Muhammad, apalah salahnya menahan sakit itu seketika. InsyaAllah, Dia tidak akan membebankan anda dengan ujian yang tidak tertanggung oleh anda.
Yakinlah pada kuasa Allah, kerana hanya Allah yang mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua. Mungkin apa yang kita rasakan hendak ketika ini hanyalah kehendak kita semata-mata sedangkan Dia telah memberikan kita apa yang kita PERLUKAN.
Amin, Ya Rabb..
Nota Kaki:
Kos rawatan bersama Dr. Hamid Arshat memang agak tinggi bagi orang yang tidak mempunyai sebarang syarikat insurans atau syarikat untuk dituntut pembayaran namun kerana yakinnya saya dengan kredibiliti beliau merawat kesuburan, tidaklah terlalu ralat melabur sebanyak itu. Bagi yang bertanya berapakah kos HSG, kosnya hanya RM140.00 sahaja. Itupun setelah anda bertemu dengan Dr. Hamid, dan beliau akan memberikan satu surat kepada pihak Klinik berkenaan yang menyatakan anda perlu melakukan x-ray. :)
Harap membantu, dan maaf kerana entry terlalu panjang.
xoxo
Luahan #2
6 years ago
4 ::sok sek:::
Sis ada tak dr perempuan
Sis mn nk dapat Dr perempuan
Ada dr perempuan tk
Sis ada tak dr perempuan
Post a Comment